Jumat, 30 November 2012

Alangkah Indahnya jika pemimpin menjadi Imam

Belia adalah aset atau harta yang sangat berharga kepada negara. Merekalah tonggak kekuatan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Bagaimanakah yang dikatakan belia yang mampu memimpin negara?

Mereka adalah belia yang berjaya memimpin diri sendiri. Selain itu, mereka juga mampu menjadi imam dalam jemaah solat, bijak dalam ekonomi, mesra dengan masyarakat, celik dalam bidang politik dan cemerlang dalam menguasai ilmu pengetahuan.


Semua ciri-ciri berikut sebenarnya telah diasuh dan didik sejak dari zaman kanak-kanak agar mereka menjadi salah seorang belia yang dikatakan mampu memimpin negara.

Mempraktikkan sembahyang berjemaah dalam masyarakat mampu menguatkan sistem organisasi dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui hikmah sembahyang berjemaah, antaranya, merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Alangkah indahnya jika pemimpin menjadi imam, kerana kekuatan sembahyang berjemaah juga boleh menimbulkan sikap kasih sayang, hormat-menghormati dan menjalinkan persefahaman.

Syarat-syarat untuk menjadi imam sembahyang berjemaah adalah sama dengan syarat untuk menjadi pemimpin dari segi kemampuan menguasai ilmu agama. Seorang imam perlu menguasai bacaan Al-Quran lebih baik daripada makmumnya dan lebih faham perkara berkaitan rukun dan syarak.

Begitu juga pemimpin, seorang pemerintah perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mentadbir negara kerana kuasa menghukum terletak di bahunya. Kejayaan umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka mempraktikkan roh sembahyang itu di luar sembahyang.

Dalam sembahyang, mereka merendah diri kepada Allah SWT. Di luar sembahyang, mereka tawaduk, tidak sombong, tidak angkuh atau membesarkan diri.

Mereka sembahyang berjemaah dan patuh kepada imam selagi imam patuh kepada syarat dan rukun. Di luar sembahyang, mereka hidup dalam masyarakat yang harmoni, mentaati pemerintah selagi pemerintah mentaati Allah SWT.

Dalam sembahyang berjemaah juga mereka berbaris dalam satu saf yang tersusun rapi. Di luar sembahyang, mereka berganding bahu dalam organisasi yang teratur untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Seseorang yang dianugerahi Allah SWT untuk menjadi pemimpin hendaklah menunjukkan rasa cintanya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada bawahannya atau rakyatnya. Dakwah tidak semestinya dilakukan oleh pendakwah, ustaz mahupun tabligh tetapi dakwah juga dipertanggungjawab kepada pemimpin.

Maksud dakwah ialah mengajak individu ataupun masyarakat ke arah yang lebih baik dari setiap sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta kesihatan.

Insya-Allah, jika seseorang itu berjaya menjadi imam dalam sembahyang jemaah, maka dia akan berjaya dalam memimpin rakyatnya.

Sumber Asal : iluvislam.com

Doa Khusus Elak Rogol dan Cabul : Amalkanlah

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.


Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.
اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ
DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM
Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Fikirkanlah...sekian
Zaharuddin Abd Rahman
(http://www.zaharuddin.net/)

Selasa, 27 November 2012

Hikmah Sujud



Antara hikmah sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Bernafas ketika sujud pula boleh memberi manfaat seperti berikut:

  1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
  2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
  3. Melegakan sakit hernia (burut)
  4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
  5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.
  6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
  7. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
  8. Meringankan bahagian pelvis.
  9. Memberi dorongan supaya mudah tidur.
  10. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
  11. Pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
  12. Mengurangkan Kegemukan - Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions) .

NOTA : Dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta, sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya. Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran, sekali gus menguatkan mentaliti seseorang. Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.

SUMBER ASAL : ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

Senin, 26 November 2012

Infografik Keajaiban Al - Quran dari segi Matematik

Ta’riful Qur’an

Menurut bahasa, “Qur’an” berarti “bacaan”, pengertian seperti ini dikemukakan dalam Al-Qur’an sendiri yakni dalam surat Al-Qiyamah, ayat 17-18 :
“Sesungguhnya mengumpulkan Al-Qur’an (di dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan kami. (Karena itu), jika kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikuti bacaannya”.
Adapun menurut istilah Al-Qur’an berarti : 
“Kalam Allah yang merupakan mu’jizat yang diturunkan kepada nabi Muhammad, yang disampaikan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah”.

Berikut merupakan Infographic yang menggambarkan beberapa keajaiban matematik Al-Quran yang Mulia. Membantu membuktikan bahawa ia tidak dapat ditulis selain daripada Allah S.W.T sendiri.



Kamis, 15 November 2012

Romantik Gaya Saidina Umar Al Khattab



Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel. Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. 

Dia pun memarahi isterinya kerana 'kuat' membebel. Sehingga lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya memang seorang 'kaki bebel'. Memandangkan keadaan rumahtangganya semakin parah, si suami sudah tidak tahan dengan perangai isterinya, dia-pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Menurutnya, "Kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku".

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, "Apa hajat kamu datang ke mari?"

Si suami tadi menjawab, "Aku sebenarnya datang hendak mengadu hal isteri aku yang kuat membebel, tetapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu".

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, "Apa salahnya aku membiarkan isteriku berleter. Bukankah dia yang menjaga aku, anak-anakku dan rumah tangga. Apalah halnya jika dia sekadar membebel kepadaku".

Itulah cara Sayidina Umar menghargai layanan dan khidmat bakti isterinya yang begitu setia setelah sekian lama bersusah payah menguruskan rumah tangga. Diam Umar adalah diam tanda sayang, paling-paling Umar hanya tersenyum mendengar bebelan isterinya itu. Itulah romantik cara Saidina Umar. 

Dibiarkannya isterinya membebel untuk meluahkan perasaannya. Bebelan isterinya juga adalah bebelan sayang, bebelan tanggungjawab dan keprihatinan, bukannya marah-marah yang menjatuhkan maruah dan tidak sampai ke tahap menderhaka kepada suami.

Rabu, 14 November 2012

Muhasabah Maal Hijrah



Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,
Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....

-iluvislam

Selasa, 13 November 2012

Ai shi teru, Ya Allah



Ai shi teru ialah perkataan Jepun yang bermaksud, "Aku cinta padamu...". Dalam bahasa Inggeris ia disebut, "I love you", dalam bahasa Arab, "Uhibbuka" (untuk lelaki) dan "Uhibbuki" (untuk wanita), manakala di dalam bahasa Mandarin ia disebut, "Wo ai ni". Dan Perancis pula disebut, "Je t'aime". 

Walaupun perkataan ini berlainan sebutannya, tetapi hakikatnya ia tetap mempunyai satu maksud iaitu aku cinta padamu. Persoalannya cinta kepada siapa?

Perkataan 'Cinta' adalah perkataan yang begitu popular di mana sahaja kita berada, kerana ia bukan perkataan yang terkandung dalam kamus moden tetapi telah lama wujud sejak dijadikannya Adam dan Hawa. Begitupun cinta dalam makna yang sebenar bukanlah nafsu, tetapi kepercayaan. Orang yang percaya kepada sesuatu perkara dengan tindakan dan bukti tanpa memerlukan apa-apa syarat, itulah cinta. Oleh itu , apabila kita menyatakan cinta kita kepada Allah, maka kita akan dapat mengesan tanda-tandanya.

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut dalam kitabnya, 'Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatil Mushtaqin' bahawa beberapa tanda jatuh cinta yang dialami oleh kebanyakan manusia adalah :

"Banyak mengingati orang yang dicintai, membicarakan tentangnya dan sentiasa menyebut namanya..."
"Tunduk dan mengikut segala perintah orang yang dicintai dan mendahulukan segala keperluannya..."
"Memerhati kata-kata orang yang dicintai dan mendengarkannya..."
"Mencintai segala perkara yang dicintai oleh sang kekasih..."

Sekiranya diteliti, perkara yang disebut oleh Ibnu Qayyim itu memang benar. Apabila kita jatuh cinta, pasti kita membuat perkara-perkara tersebut. Dan sekiranya ia tidak ditangani dengan bijak, natijahnya akan mengundang perkara yang negatif dan mencelakakan manusia. Seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain, maka hari-hari yang berlalu terasa mendung, sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tidak mahu diduakan oleh sesiapa.

Sebenarnya tidak banyak perbezaan yang berlaku daripada segi prinsip apabila kita jatuh cinta kepada Allah kerana matlamat asalnya juga cinta. Ringkasnya, apabila kita jatuh cinta kepada Allah, kita pasti mengingatiNya, tunduk dan patuh pada semua perintahNya, memerhati dan menuruti segala peraturanNya dan mencintai segala perkara yang dicintai oleh Allah. Itu juga disebut antara tanda-tanda cinta kepada Allah.

- tarbawi.my

Senin, 12 November 2012

Koleksi Doa-doa Harian untuk diamalkan



DOA UNTUK MEMUDAHKAN SEBARANG URUSAN
"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki"

DOA ANAK UNTUK IBU BAPA
" Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku ketika aku kecil"
DOA ANAK UNTUK IBU BAPA
" Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku ketika aku kecil"
DOA PERLINDUNGAN UNTUK ANAK
" Aku meminta perlindungan bagi kamu berdua dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang yang berbisa dan bencana ain (pandangan mata yang menimpakan penyakit)
DOA KETIKA KELUAR RUMAH
"Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu supaya tidak sesat atau disesatkan, menyeleweng atau diselewengkan, berbuat aniaya atau dianiayakan, bodoh atau diperbodohkan ke atasku"
DOA KETIKA MEMASUKI RUMAH
"Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah kami bertawakal"
DOA MEMOHON KESIHATAN TUBUH BADAN (diamalkan pd waktu pagi & petang)
"Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada badan hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada telinga hamba, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada mata hamba, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kepapaan, Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu daripada kesengsaraan azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau."
DOA UNTUK MENGELAK DARIPADA BAHAYA
"Apa yang dikehendaki Allah tetap berlaku, tiada daya upaya melainkan dengan kuasa Allah"
DOA MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA PENYAKIT BERAT
"Wahai Allah, sesungguh nya aku berlindung diri kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit berat."
DOA TOLAK BALA
"Elakkan daripada kami segala jenis bala bencana di dunia dan akhirat, juga bahaya di dunia dan akhirat. Elakkan daripada kami kejahatan musuh dari kalangan manusia dan jin, juga kejahatan syaitan dan iblis. Elakkan daripada kami bahaya di udara dan yang turun dari langit, bahaya yang keluar dari bumi dengan rahmat Mu wahai yang Maha Mengasihani berbanding yang lain,Ya Allah, restuilah dan sejahteralah junjungan kami Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda semuanya. Segala puji-pujian itu hanya bagi Allah Tuhan Semesta  Alam"
DOA SEBELUM BERSETUBUH
"Dengan nama Tuhan, Ya Allah! Hindarilah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau kurniakan kepada kami (anak)"
DOA UNTUK MENDAPAT KETURUNAN YANG BAIK
"Wahai Tuhan kami! Berilah kepadaku dari sisiMu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkau maha Mendengar Doa"
DOA UNTUK PENGAMPUNAN DAN KESAYANGAN
"Wahai Tuhan kami! kami telah beriman, maka ampunilah kami dan kasihanilah akan kami dan sesungguhnya Engkaulah yang sebaik-baik Pengasih"



Alasan Popular Bagi Wanita Yang Enggan Menutup Aurat



  1. Semua yang tutup aurat, kompom masuk syurga ke?!
    Dik, yang pasti, jika tidak menutup aurat, confirm masuk neraka.
  2. Pakai jarang ke, ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka, jangan tengok.
    Dah lalu lalang depan mata, suka tak suka pasti tertengok jugak. Adakah kita berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan?!
  3. Kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami
    Seksi atau tidak, kita tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut
  4. Walaupun kami tidak bertudung, kami tetap sembahyang dan puasa.
    Kita yakinkah bahawa ibadah kita itu sudah cukup untuk menjamin kita ke syurga?!
  5. Suka hati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.
    Anda sebenarnya telah menyusahkan bapa, suami, saudara lelaki dan anak lelaki anda dengan menarik mereka ke neraka bersama anda disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik anda
  6. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.
    Berani cakap kat dunia. Berani ke cakap macam tu depan Allah nanti?! Lawan perintah Allah, neraka tempatnya.
  7. Kami pakai seksi macam ni sebab ikut arahan photographer/pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene.
    Sanggup patuh arahan mereka yang hanya manusia biasa daripada patuh suruhan Allah?!
  8. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.
    Macam mana seru tu?! Nasihat yang diberi tu, seru lah tu. Nak seru macam mana lagi? Mati tidak mengenal usia. Takut tak sempat nak bertaubat nanti.
  9. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la
    Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, "Tunggu la kejap. Lepak la dulu. Jangan ambil nyawa aku lagi
  10. Tutup aurat tu bagus, tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya
    Kalau begitu anda sebenarnya memang hipokrit. Mengaku sebagai Islam, mengaku sebagai hamba Allah, mengaku sebagai umat Muhammad, namun segala suruhan agama, segala perintah Allah, segala pesanan Rasulullah, semuanya anda tak buat. Ikhlas tak ikhlas lain cerita, yang penting WAJIB buat!
-Gempak

Sabtu, 10 November 2012

7 Ayat Cinta yang akan Kekal Selama


PERTAMA
Bismillahhirrahmannirahim - pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

KEDUA
Alhamdulillah - pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

KETIGA
Astagfirullah - jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

KEEMPAT
Insyaallah - jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

KELIMA
Lahaulawalaquatai llahbillah - bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

KEENAM
Innalillah - jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

KETUJUH
Lailahaillallah - bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya. Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang-orang yang terpilih olah Allah...

Sabda Rasulullah s.a.w :
Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih dilautan.



Rabu, 07 November 2012

5 Perkara yang membawa Wanita ke Syurga



Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama. 

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) :
Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.
Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.
Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.
Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka.

Demikianlah, wallahualam

IslamituIndah 

Selasa, 06 November 2012

Bila Sifat MALU sudah tidak Berfungsi


Biasa kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga. Kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita. Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan-jalan raya, di pasar raya, di perhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.

Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Sememangnya wanita lain daripada lelaki, terdapat banyak kelainannya.

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud : 
"Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)
Wanita, apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki, kalau dia berbuat baik, dikagumi, apabila berbuat jahat diminati, apabila dia memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) dilihat menggoda, dan macam-macam lagi yang menarik perhatian.

Oleh sebab itu Allah S.W.T. mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.

Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : 
"Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu."
Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca akal pun sudah mengakui sebagai suatu sifat yang perlu ada pada diri manusia.

Barangkali wanita hari ini kebanyakkannya tidak malu atau kurang malu sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat. Atau barangkali jika sifat malu yang dikurniakan Allah itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Kalau demikian, bererti tiada iman di dada mereka.

Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka. Ini tandanya mereka tiada iman.

Apabila tidak beriman, maka sifat malu yang sedia ada itu secara automatik akan hilang. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat di mana-mana. Melalui media cetak seperti majalah Hai, Mangga, URTV dan sebagainya, media elektronik seperti rancangan-rancangan hiburan dan bahkan di hadapan mata kita sendiri berbagai ragam dan kemungkaran berlaku, tidak berkecuali dilakukan oleh wanita.

Sayang, wanita yang sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.

Tapi percayalah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yang menimpa kaum wanita.

loveloveislam

Senin, 05 November 2012

10 Sebab doa Ditolak - Sila ambil tahu


Ketika Ibrahim bin Khadam (seorang ahli tasauf yang masyhur) ketika berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya : Mengapakah doa mereka tidak dikabulkan Allah pada hal mereka selalu berdoa kepadanya? Beliau menjawab : Kerana hati kamu buta disebabkan sepuluh perkara iaitu :

  1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan hakNya.
  2. Kamu berkata bahawa kamu cinta Rasulullah SAW tetapi kamu tinggalkan sunahnya.
  3. Kamu telah membaca Al Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya.
  5. Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  8. kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
  9. Kamu bangun dari tidur, lalu kamu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri kamu sendiri.
  10. Kamu kebumikan mayat-mayat sahabat kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar ( pengajaran) daripada mereka.

Minggu, 04 November 2012

Kenapa Enggan Berada di Saf Hadapan


Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh
Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain.

Firman Allah (bermaksud) :
“Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan” (al-Baqarah; 148).

Sabda Nabi s.a.w bersabda :
“Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.

Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; “Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan”. Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu.

Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.
Wallahu a’lam.

Islam itu Indah

Kamis, 01 November 2012

Adab-adab Membaca Al-Quran


AL-Quran adalah kalam Allah yang paling mukjizat sekali di dunia ini. Membacanya dapat menenangkan hati dan jiwa bagi mereka yang rajin membaca. Membacanya juga dapat menyembuhkan seribu satu penyakit yang dialami oleh manusia untuk mengubati penyakit misteri yang kita alami. 

Maka tidak hairanlah banyak pusat perubatan islam sekarang ini tumbuh bagai cendawan untuk membantu orang lain yang mempunyai penyakit yang sukar diubati dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Lihat betapa hebatnya kuasa dan mukjizat menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Tetapi hari ini kita bukan membincangkan tentang cara mengubati penyakit menggunakan Al-Qur’an, malah kita akan membincangkan tentang adab-adab membaca Al-Quran . Perkara ini adalah asas di mana kita mahu mendalami Al-Qur’an itu sendiri. Nabi s.a.w itu sendiri pernah bersabda 
“ Sebaik-baik kamu adalah orang yg mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari).
Untuk itulah tiada ilmu yang lebih utama dipelajari oleh seorang muslim melebihi keutamaan mempelajari Al-Qur’an. Adalah sangat penting diri kita bersih dari segala kekotoran untuk membacanya. Iman Haramain berkata : 
“ Orang yang membaca Al-quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu yang utama.
Ketika membaca Al-Qur’an, maka seorang muslim perlu memperhatikan adab-adab berikut ini untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membaca Al-Qur’an:
  1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
  2. Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
  3. Membaca dalam keadaan berwuduk.
  4. Mengadap ke arah kiblat.
  5. Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
  6. Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
  7. Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.
  8. Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
  9. Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
  10. Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
  11. Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
  12. Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
  13. Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” – (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
  14. Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
  15. Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
  16. Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
  17. Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
  18. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
  19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
  20. Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
  21. Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
  22. Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Semoga panduan ini dapat menjadi pedoman dan panduan bagi diri kita sendiri, Amin.

Sumbangan : Nur
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com