Tampilkan postingan dengan label tips mendidik anak. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label tips mendidik anak. Tampilkan semua postingan

Selasa, 22 Januari 2013

8 Tips Mempamerkan Kasih Sayang Ibu Bapa kepada Anak



Sentuhan

Sentuhan sederhana pada kepala, bahu atau belakang ketika bercakap dengan mereka. Kadang kala, sifat ego ibu bapa menghalang sentuhan di dalam sesetengah keadaan khususnya terhadap anak remaja. Sedangkan kesan sentuhan terhadap anak remaja adalah lebih ketara berbanding kanak-kanak yang lebih muda usianya.

Berbual

Berbual dengan mereka mengenai perkara yang mereka minati. Luangkan sedikit masa anda bersama untuk berbual mengenai kecenderungan dan minat mereka. Tawarkan bantuan dan tunjukkan sokongan sekiranya minat dan kecenderungan mereka tersebut merupakan sesuatu yang memberi manfaat buat mereka serta tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Ungkapan

Zahirkan kasih sayang melalui ungkapan. Anda boleh memberitahu mereka bahawa anda mengasihi mereka. Mungkin juga sebuah ungkapan berbunyi – “Umi sayang pada Farid, Farid sayang umi tak?” Ungkapan seperti ini mesti disesuaikan dengan situasi yang tenang dan jauh daripada kebisingan supaya memberi kesan yang lebih baik.

Mendengar

Luangkan masa mendengar dengan aktif (mencerap) – Sifat ini sukar dipraktikkan bagi ibu bapa yang terlalu sibuk. Lima minit yang anda luangkan untuk mencerap terhadap keluhan, cerita dan bisikan daripada anak-anak akan memberikan makna dan kesan yang sangat baik untuk jangka panjang.

Menatap wajah

Melihat wajah anak ketika bercakap. Merenung mata dan wajah anak dengan penuh kasih sayang ketika bercakap, akan memberi kesan emosi yang dalam. Perhatian mereka terhadap percakapan ibu bapa juga meningkat dengan merenung wajah mereka ketika bercakap malah walaupun percakapan berbentuk memberi arahan. Malangnya, ada ibu bapa terlalu sibuk sehinggakan bercakap dengan anak tetapi muka mengadap ke komputer atau menoleh ke tempat lain.

Sedangkan Rasulullah mengajar kita supaya menghadap badan kepada seseorang ketika bercakap dengannya, bukan sekadar menolehkan muka kita kepadanya..

Berkongsi perasaan

Tidak salah kita berkongsi perasaan dengan anak-anak asalkan bersesuaian dengan tahap mereka. Walau bagaimanapun pastikan supaya perkongsian tersebut berunsur perkara-perkara positif yang mana dapat meningkatkan tahap kualiti emosi mereka. Ibu bapa yang bijak melayan perasaan anak-anak akan berjaya menawan hati mereka lantaran meningkatkan kecenderungan untuk sentiasa berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka dengan ibu bapa.

Suapkan makanan

Ketika anak masih kecil, sememangnya ibu bapa akan suapkan makanan dan merupakan aktiviti yang seronok. Cubalah suapkan makanan ke mulut anak sekali sekala walaupun mereka sudah remaja. Ramai pakar menyarankan supaya ibu bapa dapat makan bersama anak-anak sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.

Beri pujian

Beri pujian sekiranya mereka memperolehi sesuatu pencapaian walaupun sekecil-kecil alasan. Pujian merupakan penghargaan. Penghargaan yang diberi melambangkan sebahagian kasih sayang. Buktinya, orang yang tidak menyayangi kita, tidak akan memuji kita dengan ikhlas

p/s : Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencoraknya

Rabu, 13 Juni 2012

Tahukah anda Kelebihan Memiliki anak Perempuan



Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya, 
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud,
“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah s.w.t.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua,?

menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan? Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja.

Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Selasa, 15 Mei 2012

Kenapa berdoa itu penting dalam hidup mukmin



“Umat Islam digalakkan berdoa untuk kebaikandi dunia dan di akhirat. Manusia hanya mampu berusaha, segala ketentuan adalah daripada Allah S.W.T. Memohon sesuatu daripada Allah hendaklah disertai dengan perasaan insaf,  jujur, dan ikhlas supaya mendapat petunjuk dan hidayahNya.” –   Al-Baqarah; 201.

Setiap manusia yang menginginkan ketenangan, kebahagian dan kesenangan hidup hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T kerana dengan izinNya, tidak mustahil segala hajat akan tercapai disusuli dengan usaha dan tawakal.

Namun, terkadang itu manusia mudah alpa dan kerap kali lari dari menunaikan tanggungjawab untuk berdoa kepada Yang Maha Esa. Malah, kepentingan berdoa sebagai sebahagian inti pati kehidupan juga sering dipandang ringan dan dianggap perkara yang remeh.

Hakikatnya, kepentingan berdoa merupakan salah satu bentuk komunikasi seseorang hamba dengan Raabnya (Tuhannya) dan juga satu bentuk hubungan yang mujarab bagi mendekatkan diri dengan Pencipta.

Doa adalah permohonan seseorang hamba kepada Raabnya untuk memohon perlindungan (inayah) dan pertolongan (ma’unah). Hakikat doa adalah ekspresi ketidakmampuan dan kefakiran kepada Allah SWT, serta ikrar bahawa tidak ada kekuatan dan daya kecuali dengan pertolongan Allah S.W.T. Ia merupakan simbol daripada penghambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah S.W.T.

Doa juga merupakan pujian kepada Allah S.W.T, dengan menyandarkan seluruh bentuk kebaikan dan kemuliaan hanya kepadaNya sehingga Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud ” Doa adalah ibadah” . Begitulah peri pentingnya peranan doa dalam kehidupan seorang Muslim.

Berdoa sentiasa dianjurkan oleh Allah S.W.T seperti mana firmanNya:

“Berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan.”

Maksudnya, apabila seorang Muslim memanjatkan sesuatu doa kepada Allah S.W.T yang di dalamnya tidak ada dosa dan pemutusan tali silaturahim, maka Allah S.W.T akan memberinya satu di antara tiga; Allah S.W.T langsung mengabulkan doanya; Allah S.W.T akan menyimpannya untuk orang tersebut di akhirat; dan Allah SWT akan menjauhkan kejahatan atau keburukan dari orang tersebut yang setimpal dengan doanya.

Bagaimanapun, terdapat juga doa-doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T seperti doa daripada orang-orang yang melakukan maksiat, doa yang sentiasa dengan perasaan riak serta memohon doa yang dilarang oleh agama.

Hikmah berdoa yang digariskan dalam Islam itu terlalu luas untuk di dalami oleh setiap manusia. Doa yang jujur dan ikhlas itu supaya Allah memakbulkan doa untuk keberkatan hidup. Berdoa juga dapat mendidik diri manusia sentiasa mengingati Allah tidak kira dalam keadaan susah mahu pun senang.

Oleh itu, setiap umat Islam itu hendaklah sentiasa berdoa untuk keredhaan hidup di duna dan akhirat. Allah menegah setiap dari kita berdoa sahaja tanpa usaha dan tawakal untuk membolehkan kita mencapai setiap perkara yang dihajati.

Sumber : mynewshub.my

Senin, 01 Maret 2010

Berikan kebebasan kepada anak memilih.



Salah satu keunikan manusia berbanding hidupan lain ialah keupayaan berfikir dan seterusnya membuat kesimpulan yang rasional. Walaupun semua orang berkeupayaan melakukan proses kognitif ini, namun tidak semua orang berani mengemukakan pandangan atau hasil pemikirannya. Hal ini berlaku antaranya disebabkan oleh didikan dan persekitaran yang dilalui oleh seseorang semasa zaman kanak-kanaknya.

Kanak-kanak biasanya kurang diberikan kebebasan untuk membuat pilihan atau keputusannya sendiri. Kebiasaannya ibubapalah yang menjadi 'dicision- maker'. Secara tidak langsung, amalan ini seolah-olah mengongkong kebebasan mereka untuk memberi pandangan; sekaligus mematikan sifat kreativiti mereka. Lama-kelamaan, mereka juga akan hilang keyakinan diri.

Sepatutnya, ibubapa melibatkan anak-anak dalam proses membuat keputusan. Mereka seharusnya diberi peluang mengemukakan pandangan. Ini akan membantu mereka dalam perkembangan minda dan sekaligus anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai. Contohnya, apabila kita hendak membeli baju anak-anak. Sebaiknya bawalah bersama anak untuk memilih bajunya sendiri. Sekiranya kita merasakan mereka belum pandai membuat pilihan yang terbaik, pilihlah beberapa helai dan biarlah keputusan akhir dilakukannya sendiri.

Dalam Islam, kita digalakkan untuk bermusyawarah. Budaya ini sepatutnya disemai di dalam institusi kekeluargaan bilamana hendak membuat sebarang keputusan yang penting dalam keluarga. Selain melibatkan mereka dalam proses membuat keputusan, ia juga dapat mengeratkan talian kekeluargaan dan sifat percaya-mempercayai sesama ahli keluarga.

Hargailah pandangan anak-anak. Jika pandangan mereka tidak dapat diterima atau kurang menepati kehendak syariat, berikan kepada mereka alternatif. Elakkan daripada 'mencantas' setiap luahan rasa mereka. Jika anak-anak dihargai, insya Allah mereka akan membesar menjadi insan yang lebih proaktif dan berani.

Sumber : http://www.al-munir.edu.my
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com