Tampilkan postingan dengan label cerita agama. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label cerita agama. Tampilkan semua postingan

Kamis, 14 Maret 2013

Apabila Segalanya Di Pertontonkan Di Facebook

Keadaan di kedai makan itu seperti malam-malam sebelumnya. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk. Menu char koey teow menjadi pilihan utama bagi sesiapa yang mengunjunginya. Azmi tidak terkecuali. Cuma kali ini lebih tenang, apabila dia bersama dengan sahabatnya yang belajar di Mesir. Ehsan namanya. Sudah lama mereka tidak ketemu.

“Ko perasan tak, yang Facebook dah banyak berubah?”. Ehsan memulakan perbualan. Char koey teow special telah habis dijamahnya.


“Aah, aku perasan juga. Dah ada ticker sekarang ni, yang mana segala perbuatan kita di Facebook, akan diketahui umum. Malah, kalau upload gambar pun, punyalah besar apabila ada dekat wall tu. Dahsyat Facebook sekarang ni.” Rungut Azmi. Dia meneguk teh ais, sambil mengetap bibir kerana kesejukan.

“Hmm, itu yang aku risaukan. Bukannya apa, aku selalu terfikir. Bagaimana ketika di akhirat kelak, yang mana segala perbuatan kita akan dipertontonkan semula, samada perbuatan baik atau buruk. Tengok sajalah, kat Facebook pun, segala apa yang kita lakukan, akan keluar dekat ticker tu, dari ‘like’, ‘comment’ dan macam-macam lagi. Tidaklah aku katakan salah untuk bersosial, cuma perlulah berpada-pada.

Kita tidak akan berasa segan sekiranya kita melakukan perkara yang bermanfaat di Facebook. Tetapi, malu sebenarnya, jika kita melakukan perkara yang melalaikan, yang mampu menimbulkan fitnah, kemudian dipertontonkan pula di khalayak ramai.” Ehsan meleter panjang.

“Aku pula cuma kurang suka sekiranya kawan-kawan perempuan aku, begitu seronok upload gambar kat Facebook. Bukannya apa, tidak ada salahnya untuk upload, tetapi tidak perlulah sehingga mendedahkan aurat, malah membuat gaya yang menggoda. Mata-mata yang liar begitu banyak memerhatikan mereka. Saham dosa semakin bertambah tanpa sedar.

Tidak terkecuali bagi kawan-kawan lelaki juga yang suka mendedahkan aurat. Seolah-olah di akhirat, segalanya dipertontonkan di Facebook. Segala dosa-dosa akan dituntut di akhirat kelak.” Azmi menambah.

“Hmm, maka disebabkan itulah, kita kena pandai ambil peluang.” Ehsan menimbulkan tanda tanya dalam diri Azmi.

“Maksud ko?” Azmi menggelengkan kepala, tanda tidak mengerti.

“Orang selalu fikir bahawa laman web sosial ni, hanyalah tempat untuk kita bersosial sahaja, yang mana ikhtilat lelaki dan perempuan sudah tidak ada batasan. Bukanlah bermaksud tidak boleh berkawan langsung dengan berlainan jantina di Facebook, namun, perlu menjaga batas pergaulan, sungguhpun hanya di alam maya. Janganlah sehingga menimbulkan fitnah dan syak wasangka, atas segala perbuatan kita yang dipertontonkan di Facebook tu.” Hujah Ehsan.


“Gunakan medium ini untuk berdakwah. Nak jadi da`ie mesti kreatif. Takkan nak tunggu kita belajar kat Mesir, amek jurusan Syariah, nak kena jadi ustaz, baru boleh berdakwah, kan? Dengan hanya menggunakan medium seperti Facebook sahaja, kita dapat menyebarkan Islam, memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, boleh sahaja kita post link-link agama yang bermanfaat, cerita-cerita teladan islam, kata nasihat dan sebagainya.


Kongsikan tafsir Al-quran dan juga Hadis. Kemudian boleh sahaja kita post link-link dari Youtube, video yang memberi pengajaran. Maka apabila dipertontonkan di Facebook, di khalayak ramai, sekurang-kurangnya kita melakukan perkara yang bermanfaat. Mungkin sahaja menjadi saham pahala bagi kita, bukannya menjadikan Facebook sebagai medium menambah dosa dan tempat meluahkan perasaan, kan?” Tambah Ehsan, panjang lebar.

“Hmm, aku setuju dengan pendapat ko. Tapi, bagaimana kalau sesetengah daripada kawan-kawan kita kurang bersetuju? Mungkin sahaja akan ada umpatan-umpatan liar mengatakan bahawa kita pun perangai tak seberapa, nak berdakwah kat orang lain pula.” Azmi cuba menguji Ehsan.

“Iya, tidak dinafikan memang ada sahaja yang tidak bersetuju dengan kita. Namun sedarlah, redha Allah lebih penting dari redha manusia, kan? Perlu menjadi sempurna dulu ke, untuk membuatkan kita berhak menasihati dan berdakwah kepada orang lain? Tanpa sedar, sebenarnya kita dapat memperbaiki diri kita, sedikit demi sedikit.” Hujah Ehsan, padat.

“Betul juga apa yang ko cakap tu. Hmm, haa ko perasan sesuatu tak?”

“Tak pun. Perasan apa?”

“Aku rasa, tokeh kedai ni asyik pandang kita ja, rasanya dia macam dah nak tutup kedai.”

“Haha, agak arh, dah lewat ni kan, ok la, jumpa lagi nanti. Semoga segala apa yang kita bincangkan, memberi manfaat. Semoga Allah mempertemukan kita lagi. Assalamualaikum.”

“Haa, waalaikumussalam.” Mereka berpisah, mengikut haluan masing-masing.

Sumber

Rabu, 20 Februari 2013

Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran



Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran. Ayahlah orang pertama cuba mengajar al-Quran kepada saya. Setiap malam, kami (saya dan kakak) akan menghadap Ayah bersama dengan muqqadam. Belajar al-Quran bukanlah minat saya. Saya terasa sangat sukar. Malah setiap kali tiba saat belajar, perasaan malas, tidak seronok, rasa terpaksa dan tertekan menyelubungi diri.

Ia satu saat yang paling membosankan!

Akibatnya, saya sering tergagap-gagap apabila berhadapan dengan ayah. Setiap kali saya gagal membaca dengan lancar, ayah membuat sergahan. Sergahan yang boleh didengari seisi rumah. Nada suara yang boleh meruntuhkan semangat waja seorang kanak-kanan berusia 6-7 tahun.

Ayah sememangnya seorang guru yang terkenal dengan sifat garangnya. Di sekolah, anak-anak muridnya sudah tahu, "Emmmm.... Cikgu Ibrahim, garang sangat". Ia menjadi semakin garang apabila mengajar anak sendiri. Saya sentiasa kecut perut, takut dan berdebar-debar apabila tiba saat-saat senja melabuhkan tirainya.

Akhirnya setiap kali disergah, airmata mengalir laju. Ia bukan hanya membasahi pipi tetapi manik-manik halus menitis jatuh menimpa helaian muqqadam. Pandangan saya kabur. Huruf-huruf hampir tidak kelihatan. Berbalam-balam. Sambil teresak-esak, saya menyapu kelopak mata. Tersedu-sedu dalam kesedihan, ketakutan dan rasa kecil hati.

"Pergi masuk... marah sedikit menangis, marah sedikit menangis. Bila nak pandai!"

Saya terus meluncur ke bilik. Menyembamkan diri ke bantal. Nun jauh di hati saya terasa sangat lega daripada terus berada dalam keadaan ketakutan dan perasaan yang sentiasa berdebar-debar. Ummpp.... saya berterima kasih dengan air mata yang mengalir. Air mata itulah yang menyelesaikan masalah.

Besoknya apabila disergah, ulangan kisah semalam berlaku. Ayah sergah, saya menangis, air mata tumpah ke atas helaian muqqadam dan saya diminta masuk ke bilik. Hari-hari seterusnya saya mendapat akal. Ketika saat-saat berhadapan dengan ayah, saya mula seronok menunggu ayah memarahi dan menyergah saya. Air mata seolah-seolah bersahabat baik. Ia sangat hampir dengan kelopak mata. Dengan satu sergahan sahaja, ia keluar meleleh-leleh.

Akhirnya, dalam diam-diam tanpa saya sedari ayah sudah tidak menjadi guru Quran saya lagi. Maksudnya proses pembelajaran Quran terbantut dan terhenti ketika usia tujuh tahun tanpa dapat menghabiskan bacaan. Saya cuma tahu dan hafal beberapa surah sahaja – cukup-cukup – untuk dibaca semasa menunaikan solat lima waktu. Itu pun belum tentu benar atau salah bacaannya. Selebihnya saya adalah manusia yang "buta Quran".

Hampir 38 tahun yang lampau saya berasa seronok kerana mengeluarkan airmata ketika belajar Quran dan lebih "lega" apabila diminta untuk memberhentikan bacaan apabila air mata tersebut mengaburi pandangan. Ia langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan. Saya kekal begitu sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kota Bharu.

Buta al-Quran dan berada di MRSM nyata tidak membebankan. Saya tidak kisah dan bersedih hati walaupun tidak tahu membaca Yaasin. Jika ada majlis doa selamat dan membaca Yaasin, saya akan cuba mengelak. Mencari jalan supaya tidak perlu menghadiri program tersebut. Malah jika terpaksa hadir sekali pun, saya tidak rasa malu atau terbeban dengan program seumpama itu.

Saya hanya menggerak-gerak mulut mengikut mereka yang lain.

Namun bila meningkat dewasa, berjawatan tinggi dan mula mengerti kehidupan selepas kematian, saya benar-benar dalam ketakutan. Jauh di sudut hati saya rasa serba kekurangan. Gelisah jiwa melihat orang berlagu membaca al-Quran. Rasa terhina bila menghadiri majlis-majlis kesyukuran, doa selamat, kematian dan keramaian yang bercorak keagamaan. Berdebar-debar setiap kali orang menghulurkan surah Yaasin. Apatah lagi kalau ada insan yang menunjukkan tangan, memberi isyarat mahu saya ke hadapan mengetuai solat.

Saya iri hati melihat orang membaca al-Mathuraat ketika waktu terluang. Saya mengangguk-angguk bila Abah mengajar beberapa ayat ringkas untuk dijadikan amalan. Namun ia berlalu dan hilang begitu sahaja. Menghafal ayat-ayat al-Quran ternyata sukar. Lidah kelu, ingatan lemah dan motivasi diri tidak segagah mana. Saya lebih tekun menulis daripada menghafal wirid-wirid selepas sembahyang. Terasa ia benar-benar sukar!

Malah dengan anak sendiri pun saya cemburu melihat mereka sudah khatam al-Quran. Membaca ayat-ayat Allah – yang kelihatan asing – selancar saya membaca novel, buku perakaunan atau surat khabar. Ketika saya kagum dengan mereka, sesekali menyusuk perasaan hiba dan sayu di atas kekurangan diri.

Saya tidak upaya untuk meningkatkan kelemahan diri. Perasaan malu, tidak berkeyakinan dan selesa dengan keadaan semasa menyukarkan keadaan. Lebuhraya perubahan nyata tidak terbina. Lalu saya membuat keputusan, biarlah saya menanti saat-saat kematian dengan kekurangan tersebut. Tiada apa yang boleh saya lakukan!

Namun saya cuba membina keyakinan diri supaya tidak tertekan dengan apa yang kurang meskipun ia kelihatan sukar. Benar, saya tidak pandai dan buta al-Quran dan sukar membuat amalan khusus tetapi saya fikir saya bukanlah manusia jahat, suka berhasad dengki dengan orang atau berburuk sangka dengan mereka yang hampir. Pada ketika itu saya berharap dan berdoa, mudah-mudahan Allah memberi pengampunannya kepada saya di atas kekurangan dan kelemahan diri.

Tidak pernah terlintas yang saya akan belajar Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia untuk menerima kematian dalam keadaan buta Quran, saya dijemput menunaikan fardhu haji. Saya menangis dan merayu mengadu kepada Allah di atas segala kekurangan diri.

Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri terhadap Allah yang Maha Perkasa. Benar, begitulah sifat Maha Pengasih dan sifat Maha Penyayang Allah terhadap hamba-Nya nyata cukup luas. Saya terbuka pintu hati untuk mula belajar al-Quran ketika membuat keputusan hendak menunaikan fardhu haji.

Ringkasnya, saya khatam semasa berada di Mekah dan berjaya menamatkan bacaan terjemahan semasa berada di Madinah.

Ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan!

Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim
(www.iluvislam.com)

Senin, 11 Februari 2013

Tazkirah Dunia yang Hilang



Sesungguhnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.

Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.

Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?

Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.

Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri  kita bertemu denganNya.

Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan,  kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah. 

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
"Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada orang orang yang terasing itu."
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)
Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.

Allah kurniakan mata untuk manusia supaya melihat, Allah ciptakan telinga untuk mendengar, dan Allah ciptakan otak untuk berfikir, sesungguhnya ciptaan Allah itu sangat berkait antara satu sama lain, bila melihat, lihatlah dengan mata hati dan sampaikan la ia ke otak, supaya ia dapat diolah dengan betul.

"Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekeliling kamu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan reda manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan" (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)

Sama-sama kita renung dan kita usaha untuk amalkan. Amal dengan penuh istiqamah.
"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu "
(Surah al-Hadid ayat 20)
Justeru sama-samalah kita betulkan niat, sucikan hati. Sedarlah, hidup di dunia ini hanya sementara tiada kekalnya. Bukalah minda dan hati agar jangan mudah dan terlalu seronok ditenggelamkan dengan kemewahan dan keseronokkan di dunia ini.

Sesungguhnya semuanya adalah pinjaman Allah. Pinjaman bermaksud Allah boleh bagi dan Allah boleh tarik balik nikmat tersebut bila bila masa sahaja tanpa kita mengetahui dan menyedarinya. Saat kita diberi nikmat kepandaian, jangan lah kita gunakan ia kepada kesesatan. Jika sesat, sukar untuk kita jumpa jalan pulang, terus terjerumus dalam kesesatan melainkan Allah bagi hidayah.

Dan jangan lah sesama sekali kita riak,ujub,bangga dengan pinjaman Allah. Siapalah kita untuk duduk bangga. Kita hanya memiliki nikmat yang hanya akan hilang. Esok lusa Allah murka Allah tarik balik.


Kesimpulannya, beringatlah sahabat.. Kita ini sangat  dekat dengan akhir zaman. Usah kita jadi hamba Allah yang berada dalam kejahilan dan kesesatan tanpa sedar. Ingatlah, dari mana kita datang, dan janganlah sampai kita sesat sehingga mensyirikkan Allah.

Melebihkan Allah dari segalanya seakan kita menjadi hamba kepadanya. Melebihkan material, nafsu, kuasa, pangkat, darjat dan menyandarkannya pada diri sehingga melupakan Allah yang memiliki segalanya seakan kita menafikan keagungan dan kesempurnaan Allah. Takutlah kita pada dosa yang terhijab yang tanpa menyedarinya, kita rupa-rupanya sudah pun berada didalamnya. Iyya uzubillah~

Justeru, sentiasalah betulkan niat dan hati. Sesungguhnya apa yang Allah pinjamkan di dunia ini milik Allah. Ianya akan hilang seperti mana dunia itu hilang. Andai merasa hebat dengan pinjaman Allah, pohonkanlah kemaafan dan keampunan. Sungguh Allah itu Maha Pengampun bahkan Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya.
Hai anak Adam, sesungguhnya jika kamu meminta dan mengharap ampunanKu, nescaya Aku ampuni dosa yang telah kamu perbuat dan Aku tak peduli. Hai anak Adam, andai kata dosamu seluas langit lalu kamu memohon keampunan, nescaya Aku ampunkan dan Aku tak peduli. Hai anak Adam jika kamu menghadap padaKu dengan membawa dosa sepenuh bumi pula lalu kamu tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan sepenuh bumi pula"
(Hadis Qudsi, Hadis Riwayat Tirmidzi)

Sumber : iluvislam.com
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com