Tampilkan postingan dengan label Solat Jumaat. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Solat Jumaat. Tampilkan semua postingan

Jumat, 05 April 2013

Rebut keistimewaan Jumaat


SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.

Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar ‘Saiyyidul ayyam’ terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud : 
“Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat”. (Hadis riwayat Muslim) 
Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud :
 “Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: 
“Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) 
Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: 
“Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.” (Hadis riwayat Ahmad) 
Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah ayat 9) Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumu’ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah.

Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. 

Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik.” (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: 
“Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) ‘diam’ sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 
Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah).” (Surah al-Mu’minun ayat 52)

Kamis, 25 Maret 2010

Rahsia Hari Jumaat


Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad SAW. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat

Amalan Sunat Hari Jumaat

Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi.

Sesudah itu bersegeralah ke masjid.. Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat  maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"

Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang sembahyang.

Solat Sunat dan Bacaan Surah Pilihan

Kerjakanlah sembahyang tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga"

Jangan tingggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di Dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.

Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan  surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).

Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.

Kemudian beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com