Tampilkan postingan dengan label soalan agama. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label soalan agama. Tampilkan semua postingan

Selasa, 12 Februari 2013

Hukum Makan dan Minum Dengan Bekas Bersadur Emas



Soalan:

Assalam ustaz..saya ingin membuat pertanyaan, apakah hukumnya menggunakan pinggan mangkuk, gelas minuman yang di salutkan dengan sedikit warna seperti emas tetapi ianya bukanlah emas betul seperti yang terdapat dipasaran sekarang ini. Terima kasih. 

Jawapan:


Bekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak kemudian disadurkan luarannya dengan warna keemasan (yakni bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi SAW dalam hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas. 

Di dalam hadis, Nabi SAW hanya melarang bekas yang diperbuat dari emas dan perak sahaja (tanpa menyebut bekas dari bahan selain keduanya). Sabda Nabi SAW (bermaksud):
“Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.)
Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang. 

Berkata Imam an-Nawawi; “Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan” (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi). Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28).

Adapun jika ia disadurkan dengan emas sebenar, hukumnya mengikut mazhab adalah seperti berikut:

Mazhab Hanafi – bekas yang disadur dengan emas dan perak harus digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas.

Mazhab Syafiie – harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.

Mazhab Hanbali – bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur itu.

Mazhab Maliki - Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah), al-Insaf (1/478, bab Sitr al-’Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).

Kesimpulanya, menurut jumhur ulamak; bekas yang disadur dengan emas; jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas, tidak haram menggunakan bekas saduran tersebut kerana emasnya telah musnah dalam logam lain, maka dihukumkan seperti tiada. 

Namun jika saduran emas itu banyak di mana ia dapat dipisahkan dari bekas(melalui pelebutan atau sebagainya), haram menggunakannya kerana ia masih wujud dan menggunakan bekas itu sama sepert menggunakan bekas emas. (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah, hlm. 369).

Wallahu a’lam.


Minggu, 10 Februari 2013

Bergerak yang Membatalkan Solat



Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.

Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul :
“ulangi solatmu dan solatlah sesungguhnya engkau belum menyempurnakan solatmu. kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.

Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-

KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.

KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.

KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat.
BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.

KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau

وهو الأصح وقول الأكثرين

Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]

Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN :

Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. 

Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.

Sekian,

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
(www.zaharuddin.net)

Kamis, 31 Januari 2013

Apakah Hukum Isteri Meminta Cerai?


DALAM MENJALANI BAHTERA RUMAH TANGGA, PASANGAN SUAMI ISTERI SUDAH SEMESTINYA TIDAK BOLEH LARI DARI PERSELISIHAN FAHAM. NAMUN PERSELISIHAN ITU KADANGKALA MENYEBABKAN SI ISTERI PULA MEMINTA DICERAIKAN.

Perceraian adalah satu perkara yang dibolehkan oleh Islam jika semua usaha untuk membaik-pulih hubungan suami-isteri menemui jalan buntu. Hadis-hadis yang melarang perceraian, dimaksudkan ialah sengaja meminta cerai tanpa sebab-sebab yang munasabah. 

Di antaranya ialah hadis berikut: Para isteri yang meminta cerai ialah wanita-wanita yang munafiq. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1186] Namun hadis berikut lebih terperinci dalam menjelaskan bentuk tuntutan cerai yang dilarang oleh Islam:

Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga.[Shahih Sunan Abu Daud, no: 2226]

Maksud alasan yang munasabah ialah umpama suami yang kaki judi, merampas wang isteri, minum arak, kaki pukul isteri atau apa-apa pelanggaran syari’at yang lain. Termasuk pelanggaran syari’at ialah apabila suami secara sengaja tidak melaksanakan peranannya sebagai qawwamun ke atas isterinya.

Ada pun hadis berkenaan seorang isteri yang dengan mudah meminta cerai di hadapan Rasulullah, saya percaya hadis yang dimaksudkan ialah seperti berikut: Sesungguhnya isteri Tsabit bin Qais datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tsabit bin Qais tidak aku cela dalam akhlak dan agamanya, akan tetapi aku tidak menyukai kekufuran di dalam Islam.”

Rasulullah bertanya: “Apakah engkau (sudi) mengembalikan kebunnya kepada (Tsabit, yang sebelum itu diberikan sebagai mas kahwin)?” Isteri Tsabit menjawab: “Ya.” 

Rasulullah bersabda (kepada Tsabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5273]

Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. 

Namun apa yang sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat lain:

Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.

Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit……[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3497]

Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’e atau munasabah.

Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya.

Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.

Selasa, 11 Desember 2012

Hukum Nikah Wanita Hamil Kerana Zina


Soalan
Sesungguhnya permasalahan ini amat berat.Perkahwinan seumpama ini pada hari ini sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah, cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.



Jawapan Ustaz
Telah agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku dalam masyarakat kita.

Ini bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya. Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu.

"Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina" demikian jawapan semasa geram saya..............

"Ini kerana jika sememangnya tiada "manual panduan yang normal" hukum yang mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang mengadu kepada seorang mekanik kereta  apabila kerosakan enjin keretanya" Setelah diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si  empunya kereta memberitahu :-

"Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol"..........

Saya kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang' dengan perangai ‘kurang cerdik' tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar,tuan punya kereta mulalah membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan murah.

"Mana boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR DALAM TANGKI PETROL NI OK !" kata mekanik meradang apabila diminta membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.

Inilah seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.

Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertawbat, maka inilah jawapannya:-

Apabila seorang lelaki dan wanita itu telah bertawbat dengan tawbat yang benar, dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara pasti. Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah didaftarkan sebaiknya.

Mazhab Hanbali menjadikan tawbat sebagai syarat untuk diterima pernikahan tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3. Bagaimanapun majority ulama tidak menjadikan tawbat sebagai syarat sah pernikahan penzina tersebut.

Hukum Kahwin Semasa 'iddah dan Hamil
Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah. Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru.( Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup - Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-
Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " ( al-baqarah : 228 )
b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung - Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-
وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ
Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)
c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati - Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-
والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً
Ertinya : Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari" ( Al-Baqarah : 234 ) 
Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam ( Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :
ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله
Ertinya : "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )
Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.

Kesimpulan
Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin..

Sekian...
Ust Zaharuddin Abd Rahman
(http://zaharuddin.net/)
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com