Tampilkan postingan dengan label soal jawan agama. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label soal jawan agama. Tampilkan semua postingan

Minggu, 10 Februari 2013

Bergerak yang Membatalkan Solat



Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.

Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul :
“ulangi solatmu dan solatlah sesungguhnya engkau belum menyempurnakan solatmu. kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.

Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-

KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.

KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.

KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat.
BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.

KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau

وهو الأصح وقول الأكثرين

Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]

Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN :

Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. 

Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.

Sekian,

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
(www.zaharuddin.net)

Kamis, 31 Januari 2013

Apakah Hukum Isteri Meminta Cerai?


DALAM MENJALANI BAHTERA RUMAH TANGGA, PASANGAN SUAMI ISTERI SUDAH SEMESTINYA TIDAK BOLEH LARI DARI PERSELISIHAN FAHAM. NAMUN PERSELISIHAN ITU KADANGKALA MENYEBABKAN SI ISTERI PULA MEMINTA DICERAIKAN.

Perceraian adalah satu perkara yang dibolehkan oleh Islam jika semua usaha untuk membaik-pulih hubungan suami-isteri menemui jalan buntu. Hadis-hadis yang melarang perceraian, dimaksudkan ialah sengaja meminta cerai tanpa sebab-sebab yang munasabah. 

Di antaranya ialah hadis berikut: Para isteri yang meminta cerai ialah wanita-wanita yang munafiq. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1186] Namun hadis berikut lebih terperinci dalam menjelaskan bentuk tuntutan cerai yang dilarang oleh Islam:

Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga.[Shahih Sunan Abu Daud, no: 2226]

Maksud alasan yang munasabah ialah umpama suami yang kaki judi, merampas wang isteri, minum arak, kaki pukul isteri atau apa-apa pelanggaran syari’at yang lain. Termasuk pelanggaran syari’at ialah apabila suami secara sengaja tidak melaksanakan peranannya sebagai qawwamun ke atas isterinya.

Ada pun hadis berkenaan seorang isteri yang dengan mudah meminta cerai di hadapan Rasulullah, saya percaya hadis yang dimaksudkan ialah seperti berikut: Sesungguhnya isteri Tsabit bin Qais datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Tsabit bin Qais tidak aku cela dalam akhlak dan agamanya, akan tetapi aku tidak menyukai kekufuran di dalam Islam.”

Rasulullah bertanya: “Apakah engkau (sudi) mengembalikan kebunnya kepada (Tsabit, yang sebelum itu diberikan sebagai mas kahwin)?” Isteri Tsabit menjawab: “Ya.” 

Rasulullah bersabda (kepada Tsabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5273]

Zahir hadis menunjukkan Rasulullah membenarkan seorang isteri meminta cerai meskipun suaminya tidak memiliki masalah dari aspek akhlak dan agama. Akan tetapi hakikat sebenar tidaklah sedemikian. Isteri Tsabit adalah seorang yang mulia, beliau tidak mahu mendedahkan aib Tsabit kepada Rasulullah atau orang lain. 

Namun apa yang sebenarnya berlaku antara beliau dan Tsabit dapat diketahui melalui sebuah riwayat lain:

Daripada al-Rubayi’ binti Mu‘awwidz, bahawa Tsabit bin Qais memukul isterinya hingga tangannya patah. Isterinya (bernama) Jamilah binti Abdullah bin Ubay.

Kemudian datanglah saudara lelaki (Jamilah) kepada Rasulullah mengadu berkenaan sikap suami tersebut (Tsabit). Maka Rasulullah mengutus seseorang kepada Tsabit……[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3497]

Berdasarkan riwayat di atas, kesalahan Tsabit bin Qais memang diakui syarak lagi munasabah untuk Jamilah (isterinya) meminta cerai daripadanya. Meskipun Jamilah ingin menutupi aib suaminya di depan Rasulullah, baginda sudah pun mengetahui tentang kesalahan Tsabit setelah dikhabarkan oleh saudara lelaki Jamilah. Oleh itu Jamilah tidak meminta cerai daripada Tsabit tanpa apa-apa sebab yang syar’e atau munasabah.

Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah ingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal. Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya.

Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.

 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com