Rabu, 09 Mei 2012

Cairan yang membatalkan Wudhu'


Diriwayatkan dari Ali r.a:” Aku sering keluar mazdzdza (cairan yang keluar dari kemaluan bukan dengan sebab melakukan hubungan seksual) maka aku meminta Miqdad menanyakannya kepada Nabi SAW. Miqdad pun menanyakannya dan Nabi SAW menjawab;’ Cukuplah berwudhu’.”

Huraian

Ada berbagai jenis air yang keluar dari kemaluan manusia seperti air kencing, mani, mazi dan sebagainya. Mazi adalah cecair berwarna jernih kekuningan yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan secara tidak sedar.

Keluarnya mungkin kerana naluri syahwat atau ghairah dan biasanya wanita lebih sering mengalaminya. Mazi menurut kesepakatan para ulama adalah najis yang mesti disucikan dari badan, pakaian serta boleh membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan seseorang itu mandi junub.

Sumber daripada jakim

Kamis, 03 Mei 2012

Punca segala Bencana



Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata:”Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata:”Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:”Kerana inilah tanganku dipotong” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.”


Huraian

Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. 

Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah. 

Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)


Rabu, 02 Mei 2012

Kasih Ibu - Anak Adalah Ujian Allah S.W.T


Dari Aisyah r.a katanya: "Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu, dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda. Sabda beginda s.a.w, “Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.” (Bukhari)

Subhanallah. Besarnya pengorbanan insan yang bernama IBU.

Sumber daripada JAKIM

Selasa, 01 Mei 2012

Aku Mahu!



Aku Mahu...
Mahu apa?
Mahu dikasihi Allah.
Kasihilah dirimu dan kasihilah orang lain.
Aku mahu jadi segagah-gagah manusia.
Sentiasalah menyerah diri kepada Allah.

Aku Mahu...
Mahu apa lagi?
Aku mahu jadi manusia paling baik.
Jadilah manusia yang baik dan berguna kepada masyarakat.
Tapi apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian-Nya.
Apakah pula sebesar-besar kejahatan?
Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.

sumber daripada islam.gov.my

Cantik dan Anggun


Dari Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW menentukan waktu kepada kami tentang menggunting kumis, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari supaya jangan dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”

Huraian

Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia termasuk semua aturan-aturannya. Justeru kebersihan diri adalah antara ciri-ciri utama yang mesti ada bagi sesiapapun yang ingin kelihatan cantik dan anggun. Sedangkan menarik tidak semestinya yang cantik tetapi yang pasti ialah bersih dan kemas.

Maka sesuai dengan kejadian kita yang telah disempurnakan oleh Allah SWT hendaklah kita menjaganya sebaik mungkin. Kebersihan menjamin kesihatan. Islam mementingkan personaliti yang baik, kemas dan bersih.

Janganlah kita mencontohi watak, penampilan, pakaian mahupun gaya orang-orang yang pengotor kerana orang yang pengotor itu adalah saudara kepada syaitan.

Sumber daripada JAKIM
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com