Rabu, 07 November 2012

5 Perkara yang membawa Wanita ke Syurga



Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama. 

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) :
Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.
Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.
Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.
Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : 
Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka.

Demikianlah, wallahualam

IslamituIndah 

Selasa, 06 November 2012

Bila Sifat MALU sudah tidak Berfungsi


Biasa kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga. Kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita. Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan-jalan raya, di pasar raya, di perhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.

Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Sememangnya wanita lain daripada lelaki, terdapat banyak kelainannya.

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud : 
"Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)
Wanita, apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki, kalau dia berbuat baik, dikagumi, apabila berbuat jahat diminati, apabila dia memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) dilihat menggoda, dan macam-macam lagi yang menarik perhatian.

Oleh sebab itu Allah S.W.T. mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.

Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : 
"Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu."
Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca akal pun sudah mengakui sebagai suatu sifat yang perlu ada pada diri manusia.

Barangkali wanita hari ini kebanyakkannya tidak malu atau kurang malu sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat. Atau barangkali jika sifat malu yang dikurniakan Allah itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Kalau demikian, bererti tiada iman di dada mereka.

Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka. Ini tandanya mereka tiada iman.

Apabila tidak beriman, maka sifat malu yang sedia ada itu secara automatik akan hilang. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat di mana-mana. Melalui media cetak seperti majalah Hai, Mangga, URTV dan sebagainya, media elektronik seperti rancangan-rancangan hiburan dan bahkan di hadapan mata kita sendiri berbagai ragam dan kemungkaran berlaku, tidak berkecuali dilakukan oleh wanita.

Sayang, wanita yang sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.

Tapi percayalah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yang menimpa kaum wanita.

loveloveislam

Senin, 05 November 2012

10 Sebab doa Ditolak - Sila ambil tahu


Ketika Ibrahim bin Khadam (seorang ahli tasauf yang masyhur) ketika berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya : Mengapakah doa mereka tidak dikabulkan Allah pada hal mereka selalu berdoa kepadanya? Beliau menjawab : Kerana hati kamu buta disebabkan sepuluh perkara iaitu :

  1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak tunaikan hakNya.
  2. Kamu berkata bahawa kamu cinta Rasulullah SAW tetapi kamu tinggalkan sunahnya.
  3. Kamu telah membaca Al Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya.
  5. Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  8. kamu telah berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
  9. Kamu bangun dari tidur, lalu kamu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri kamu sendiri.
  10. Kamu kebumikan mayat-mayat sahabat kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar ( pengajaran) daripada mereka.

Minggu, 04 November 2012

Kenapa Enggan Berada di Saf Hadapan


Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh
Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain.

Firman Allah (bermaksud) :
“Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan” (al-Baqarah; 148).

Sabda Nabi s.a.w bersabda :
“Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.

Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; “Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan”. Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu.

Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.
Wallahu a’lam.

Islam itu Indah

Kamis, 01 November 2012

Adab-adab Membaca Al-Quran


AL-Quran adalah kalam Allah yang paling mukjizat sekali di dunia ini. Membacanya dapat menenangkan hati dan jiwa bagi mereka yang rajin membaca. Membacanya juga dapat menyembuhkan seribu satu penyakit yang dialami oleh manusia untuk mengubati penyakit misteri yang kita alami. 

Maka tidak hairanlah banyak pusat perubatan islam sekarang ini tumbuh bagai cendawan untuk membantu orang lain yang mempunyai penyakit yang sukar diubati dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Lihat betapa hebatnya kuasa dan mukjizat menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Tetapi hari ini kita bukan membincangkan tentang cara mengubati penyakit menggunakan Al-Qur’an, malah kita akan membincangkan tentang adab-adab membaca Al-Quran . Perkara ini adalah asas di mana kita mahu mendalami Al-Qur’an itu sendiri. Nabi s.a.w itu sendiri pernah bersabda 
“ Sebaik-baik kamu adalah orang yg mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari).
Untuk itulah tiada ilmu yang lebih utama dipelajari oleh seorang muslim melebihi keutamaan mempelajari Al-Qur’an. Adalah sangat penting diri kita bersih dari segala kekotoran untuk membacanya. Iman Haramain berkata : 
“ Orang yang membaca Al-quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu yang utama.
Ketika membaca Al-Qur’an, maka seorang muslim perlu memperhatikan adab-adab berikut ini untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membaca Al-Qur’an:
  1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
  2. Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
  3. Membaca dalam keadaan berwuduk.
  4. Mengadap ke arah kiblat.
  5. Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
  6. Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
  7. Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.
  8. Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
  9. Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
  10. Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
  11. Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
  12. Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
  13. Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” – (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
  14. Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
  15. Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
  16. Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
  17. Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
  18. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
  19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
  20. Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
  21. Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
  22. Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Semoga panduan ini dapat menjadi pedoman dan panduan bagi diri kita sendiri, Amin.

Sumbangan : Nur
 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com