Senin, 30 April 2012

Wanita itu Amanah Allah




Wanita itu satu amanah dari Allah...

“Lelaki yang paling kacak adalah lelaki yang paling baik terhadap isteri dan keluarga.” 

Sesungguhnya, wanita itu satu amanah dari Allah, maka lindungilah ia kerana ia jua sebahagian dari lelaki.

“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.” (al-Araf)

Dengan kasih sayang Allah tiada yang mustahil.

Sumber daripada FB

Tiga Kali Lebih Baik


Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya : "Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah, ia mengetuk pintu) tiga kali dan mengucapkan salam." (al-Bukhari)

Huraian

Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat. 

Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. 

Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa. 

Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

Sumber daripada JAKIM

Sabtu, 28 April 2012

Jangan Tidur Meniarap!


Dari Abu Dzar ra., beliau mengatakan, “Suatu hari Nabi s.a.w. sedang berjalan melewatiku... ketika itu aku tidur secara meniarap... Maka baginda membangunkan aku menggunakan kakinya, dan berkata, “Hai Junaidib (panggilan Abu Dzar), sesungguhnya cara berbaring seperti ini adalah cara berbaring penghuni neraka.” (HR. Ibnu Majah)....

Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata; Rasulullah s.a.w. pernah melihat ada seseorang yang berbaring di atas perutnya (meniarap), maka baginda berkata, “Sesungguhnya cara berbaring seperti ini dibenci oleh Allah.” (HR. Tirmidzi)

Maryam Jameelah : Gadis Yahudi Kebanggan Islam


“ISLAM menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Dalam Islam saya temui kebenaran, kebaikan dan kecantikan yang bukan sahaja membawa dan memandu seseorang itu tentang kehidupan di dunia malah kehidupan selepas kematian.

“Malah jika ada yang bertanyakan bagaimana saya mengetahuinya? Saya hanya mampu menjawab, pengalaman peribadi cukup menyakinkan saya. Pegangan teguh saya kepada akidah Islam datang secara tenang tetapi penuh keyakinan.

“Pengislaman saya adalah begitu formaliti, langsung tidak melibatkan perubahan radikal dalaman.” Begitulah jawapan Maryam Jameelah atau sebelum ini Margaret (Peggy) Marcus, seorang Yahudi Amerika yang memeluk Islam pada 1961 tentang impak agama Islam terhadap kehidupannya.

Menurut Maryam lagi, minatnya terhadap Islam bermula seawal usianya 10 tahun sewaktu mengikuti reformasi Yahudi Sunday School.

Pada waktu itu, beliau tertarik dengan sejarah hubungan di antara bangsa Yahudi dengan bangsa Arab. Menerusi buku teks Yahudi, dia difahamkan bahawa Nabi Ibrahim ialah ayahanda kepada semua bangsa Arab dan juga bangsa Yahudi.

Beliau terbaca beberapa abad kemudian semasa Zaman Pertengahan Eropah,
penindasan Kristian menyebabkan orang Yahudi teruk terseksa dan kehadiran mereka diterima umat Islam di Sepanyol.

Kebaikan hati yang ditunjukkan ini bakal merangsang budaya Ibrani (Hebrew) terus cemerlang tanpa langsung mengesyaki sifat semulajadi Zionis.

“Saya terlalu naif dan percaya bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin untuk memperteguhkan hubungan persaudaraan dengan saudara sesama Arab.

“Tarikan kuat dengan pembelajaran sejarah bangsa Yahudi membuatkan saya tidak gembira di Sunday School,” katanya.

“Kakak saya sangat benci ke Sunday School sehingga setiap pagi ibu terpaksa bangunkannya dari katil dan dia tidak akan berganjak selepas dibebel dengan kata-kata pedas dan air mata. Akhirnya ibu, terima hakikat penolakan kakak.

Sementara itu, pada sambutan perayaan keagamaan Yahudi, kami (kakak dan saya) bukannya ke Synagogue atau melaksanakan puasa pada Tum Kipper tetapi kami dibawa keluar dari sekolah untuk pergi berkelah dan berpesta di restoran terbaik.

Apabila kami berjaya membuktikan kepada ibu bapa betapa teruknya keadaan kami di Sunday School, mereka menyertai pula sebuah organisasi agnostik dan kemanusiaan yang dikenali Ethical Cultural Movement,” cerita Maryam yang menghadiri kelas baru itu sehingga tamat pengajian iaitu pada usia 15 tahun.

Katanya lagi, apabila semakin dewasa dan matang, beliau tidak boleh menerima dan memperoleh kepuasan menerusi fahaman ateis.

Lalu Maryam mula mencari pembaharuan kepada identiti diri. Dalam tempoh itu, beliau pernah menyertai kumpulan bahai di New York yang dikenali The caravan of East and West diketuai lelaki Parsi bernama Mirza Ahmed Sohrab.

Beliau tertarik dengan Bahai kerana ia berasaskan Islam dan ceramahnya tentang Tuhan Yang Satu. Pun begitu, apabila beliau mengetahui kegagalannya untuk mengaplikasikan idea tersebut, Maryam meninggalkannya setelah setahun penyertaan.

Pada usia 18 tahun, Maryam menyertai pergerakan pemuda Zionis yang dikenali sebagai Mizrachi Hatzair tetapi apabila mengetahui kebenaran di sebalik Zionis, sekali lagi dia dikecewakan.

Semasa usianya mencecah 20 tahun, Maryam belajar di Universiti New York dan salah satu subjek elektif yang diambilnya ialah Judaism in Islam.

Malangnya profesor yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hebrew, Rabbi Abraham Issac Katsh memesongkan para pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal daripada agama Yahudi.

Tambah memburukkan, profesornya menyalahgunakan al-Quran demi membuktikan kepada pelajarnya bahawa agama Yahudi adalah agama teragung. Apabila semua tembelang yang dibawa oleh agama Yahudi terbongkar, Maryam tidak sanggup lagi mengakui dan menerima agama Yahudi.

Semenjak itu, beliau mula membuat perbandingan agama Yahudi dengan agama Islam.

Dalam kajiannya terhadap Old Testament dan kitab Taurat serta perbandingan dengan al-Quran dan hadis. Apa yang Maryam temui, agama Yahudi telah rosak sedikit dan akhirnya beliau mengucap syahadah.

Sebenarnya, keinginan bergelar Muslim wujud sejak tahun 1954 namun keluarganya dapat menghalang menerusi perbincangan terbuka.

Beliau ditakutkan dengan mengatakan bahawa Islam akan menyukarkan kehidupannya kerana ia tidak seperti agama Yahudi dan Kristian.

“Saya diberitahu bahawa Islam akan merenggangkan hubungan kami sekeluarga dan menyisihkan saya daripada masyarakat.

Pada masa itu, keimanan saya tidak begitu teguh untuk menghadapi tekanan sehebat itu. Situasi ini menyebabkan saya jatuh sakit.

“Dua tahun (1957-1959) saya berehat di rumah dan mendapat rawatan tetapi keadaan saya semakin teruk.

“Melihat keadaan kemurungan itu, ibu bapa menghantar saya ke hospital awam. Saya bersumpah sekiranya saya sembuh dan dibenarkan keluar, saya akan memeluk Islam.

“Apabila saya dibenarkan pulang, saya menyiasat mana-mana peluang untuk bertemu dengan orang Islam di Bandar Raya New York. Saya banyak menghabiskan masa di Perpustakaan Awam New York membaca bahan-bahan berkaitan Islam,” jelasnya yang banyak menghasilkan buku-buku berkaitan agama Islam selepas memeluk Islam.

Alhamdulillah, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa lelaki dan perempuan Islam pada ketika itu.

Malah Maryam mula menulis rencana kepada majalah beraliran Islam dan berutus dengan ketua-ketua Islam seluruh dunia.

“Saya pernah berutus dengan Allahyarham Sheikh Abrahimi, ketua ulama di Algeria, Dr. Muhammad El-Bahay di Al-Azhar, Dr. Mahmud F. Hoballah dan Pengarah Pusat Islam di Washington D.C., Dr. Hameedullah di Paris, Dr. Said Ramadan, Pengarah Pusat Islam Geneva dan Maulana Sayyid Abul Ala Maudoodi,” katanya lagi.

Menurut Maryam, sangkaan pertamanya bila membaca al-Quran, Islam adalah satu-satunya agama kebenaran, benar-benar jujur, ikhlas, tidak membenarkan kompromi murahan atau hipokrasi.

Maulana Maudoodi pernah menulis kepada Maryam dalam suratnya yang pertama pada Januari 1961 berbunyi: “Semasa saya menilai esei anda, saya dapat rasakan seperti saya membaca idea saya sendiri.

“Saya berharap perasaan anda tidak akan berubah sekiranya anda berpeluang mempelajari bahasa Urdu dan pelajari buku-buku saya.

“Walaupun kita tidak pernah berkenalan, namun kesepakatan pemikiran dan simpati yang wujud adalah hasil daripada sumber yang sama iaitu Islam,” katanya.

Menjawab soalan tentang sikap dan reaksi ahli keluarga dan teman-teman selepas bergelar Muslim, kata Maryam, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan menanggap beliau seorang yang fanatik kerana percakapan dan pemikirannya adalah tentang agama Allah sahaja.

Bagi mereka soal agama adalah sesuatu yang peribadi. Namun selepas membaca al-Quran, saya mengetahui bahawa Islam bukanlah sekadar hobi tetapi ia adalah soal kehidupan.

Jumat, 27 April 2012

Sembunyikan Kebaikan mampu tingkatkan keikhlasan diri



ALLAH SWT bersifat Maha Melihat dan Maha Mendengar, sudah pastinya tiada makhluk yang boleh memberi kesan sama ada memberi mudarat atau manfaat. Sejauh mana ketaatan yang diberikan seorang hamba akan sentiasa diketahui walaupun tersembunyi di sebalik tembok yang kukuh. 

Sudah semestinya seorang hamba yang benar-benar menuntut keredaan-Nya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan ketaatan melakukan ibadat khususnya pada perkara yang bersifat sunat.

Namun, perkara wajib seperti solat, zakat dan haji, hendaklah dizahirkan kepada umum kerana meninggikan syariat Allah SWT dan menyatakan kekuatan kaum Muslimin menunaikan kehendak agamanya.

Menzahirkan perkara yang wajib juga boleh memberi galakan kepada orang lain melakukan kewajipan kerana semua hamba yang beriman tidak terkecuali daripada menunaikannya sekali gus menghindarkan tohmahan orang lain terhadap kewajipan diabaikan seseorang Muslim. 


Jika dirujuk definisi kewajipan membawa maksud menzahirkan dan mengiklankan manakala sunat pula bermaksud tersembunyi serta rahsia. Amalan yang dizahirkan akan melahirkan kegembiraan pelakunya kerana dengan taufik serta inayah Allah SWT kita dapat menunaikan kewajipan itu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat dan kurniaan Allah hendaklah mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58) 

Allah SWT menghargai mereka yang melakukan kebaikan walau dengan apa cara sekalipun. Firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu adalah baik, tetapi jika kamu menyembunyikannya adalah lebih baik bagimu dan dosamu akan terhapus kerana Allah Maha Mengetahui segala-galanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)

Setelah diturunkan ayat ini, Saidina Ali berkata: “Aku membahagikan sedekah pada empat bahagian, satu dirham pada siang hari, satu dirham lagi pada malamnya dan dirham ketiga aku sedekahkan secara rahsia dan dirham terakhir aku sedekahkan secara terang-terangan sebagai menyahut seruan ayat Allah SWT.” 


Hasan Al-Basri menyebut, kebanyakan orang bersetuju bahawa merahsiakan sesuatu kebaikan itu adalah sebaik-baik urusan, tetapi berterang-terangan juga ada kebaikannya. 

Hadis diriwayatkan Abu Hurairah menyebut, Baginda SAW meletakkan orang yang bersedekah secara rahsia akan mendapat perlindungan di bawah perlindungan Allah SWT pada hari kiamat. Menunjukkan bahawa bersedekah secara rahsia lebih selamat dan mendapat jaminan Allah SWT. 

Orang yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya, inilah maqam yang terpuji dalam melakukan ibadat sunat. 

Jika dibimbangi keikhlasan akan luntur disebabkan kepujian yang akan diterima atau bagi menjaga keaiban orang yang menerima pemberian, maka hendaklah dirahsiakan sedekah itu. 

Bagi nabi, amalan sunat menjadi kewajipan kerana mereka adalah hamba yang dipilih oleh Allah SWT untuk dijadikan ikutan. 

Daripada Aishah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan pada diriku tetapi hanya sunat buat umatku, solat witir, bersiwak dan solat malam.” 

Al-Baghawi menyatakan solat malam yang dimaksudkan Baginda SAW ialah solat tahajud. Ia antara amalan sunat yang terkesan kerana dilakukan ketika rahmat Allah SWT turun ke dunia pada sepertiga malam seperti yang diberitakan Baginda SAW. 

Berkata Saidina Umar: “Sesiapa yang bersolat malam dalam keadaan sempurna, maka Allah SWT akan memuliakan mereka dengan sembilan perkara dengan lima daripadanya akan dikecapi di dunia dan bakinya di akhirat. 

“Pertamanya ialah terpelihara daripada sebarang keburukan, dizahirkan kesan ketaatan pada wajahnya, dikasihi oleh masyarakat, lidahnya akan berkata benar dan bisa menjadi ilmuwan yang bijaksana. 

Manakala empat yang diperoleh di akhirat dengan dibangkitkan dari kubur dalam keadaan wajah berseri-seri, dipermudahkan pengurusan hitungan amalannya, bergerak pantas ketika di titian Siratul Mustaqim dan mendapat catatan amalan di sebelah kanan.” (Raudatul Ulama) 

Doa orang beriman sering diangkat ke hadrat Allah SWT pada waktu malam khususnya jika ia dipanjatkan secara rahsia. Imam Ahmad bin Hambal (pengasas Mazhab Hambali) dimakbulkan doanya oleh Allah SWT menjadikan sepertiga malam untuk berdoa bagi merahsiakan permintaannya. 

Oleh Ustaz Zaman (2012/04/28)

 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com