Minggu, 10 Februari 2013

Bergerak yang Membatalkan Solat



Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.

Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul :
“ulangi solatmu dan solatlah sesungguhnya engkau belum menyempurnakan solatmu. kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.

Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-

KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.

KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.

KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat.
BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.

KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau

وهو الأصح وقول الأكثرين

Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]

Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN :

Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. 

Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.

Sekian,

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
(www.zaharuddin.net)

Rabu, 06 Februari 2013

Hukum berpakaian tapi Telanjang



Mengapa masih ramai perempuan yang tidak mengambil berat persoalan aurat dengan memakai pakaian yang merangsang syahwat lelaki. Saya rasa tidak salah untuk mengatakan kejadian rogol dan buang bayi ini yang berlaku adalah kesan daripada perempuan yang mendedahkan aurat sehingga merangsang syahwat lelaki. Apa pendapat ustaz? Saya juga ingin bertanya mengenai hukum menghias rumah dengan ukiran? Adakah Islam mengharamkannya? 

Antara sebab utama masih ramai dalam kalangan perempuan yang masih memakai pakaian yang tidak menutup aurat atau menutup aurat tetapi tidak sempurna adalah faktor kejahilan berkaitan persoalan agama. Mungkin ada yang tahu hukum menutup aurat tetapi mereka ini sombong seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW iaitu menolak kebenaran. 

Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang kelihatan bentuk tubuh dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk antaranya ialah pakaian yang dapat mempertajam bahagian tubuh terutama tempat yang membawa fitnah seperti buah dada, paha dan sebagainya. 

Golongan ahli neraka 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya: Pertama, kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang mereka buat untuk memukul orang (maksudnya pemerintah yang kejam). Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol (bukhtun) unta. Mereka ini tidak boleh masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat terhidu sejauh perjalanan sekian dan sekian. 

Mereka dikatakan berpakaian kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi untuk menutup aurat kerana itu mereka dikatakan telanjang kerana pakaiannya terlalu nipis sehingga memperlihatkan tubuh seperti yang dipakai oleh sebahagian pakaian perempuan sekarang. 

Bukhtun adalah salah satu jenis unta yang mempunyai bonggol besar. Rambut orang perempuan seperti bonggol unta kerana rambutnya ditarik ke atas. Jika diperhatikan kepada hadis itu seolah-olah Rasulullah SAW melihat apa yang berlaku pada zaman sekarang ini iaitu ramai perempuan cenderung untuk membuat rambut dengan pelbagai fesyen dalam salun yang disebut sebagai salun kecantikan, manakala ramai lelaki yang bekerja di salun kecantikan dengan upah yang sangat tinggi. 

Ada juga perempuan yang berasa tidak puas dengan rambut asli kurniaan Allah. Kerana itu mereka membeli rambut palsu yang disambung dengan rambutnya yang asli supaya kelihatan lebih cantik sehingga ia menjadi perempuan yang menarik dan memikat hati. 

Islam tidak melarang penganutnya menghias rumah dengan karangan bunga yang berwarna-warni dan ukiran-ukiran serta hiasan yang halal. Oleh kerana itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Araf ayat 32 yang bermaksud: Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah Ia keluarkan untuk hamba-hamba-Nya. 

Sekali lagi ingin mengatakan bahawa seorang Muslim tidak berdosa untuk menghiasi rumahnya, pakaiannya, kasutnya dan sebagainya. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim (yang bermaksud): Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada perasaan sombong sekalipun sebesar zarah. Kemudian ada seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah! Seseorang itu suka kalau pakaiannya baik, dan kasutnya baik. Adakah ia termasuk kesombongan? Nabi SAW menjawab: Sesungguhnya Allah itu baik, Ia suka kepada yang baik. 

Suka keindahan 

Dalam hadis riwayat Abu Daud pula menyebut (yang bermaksud): Ada seorang lelaki yang kacak datang kepada Nabi SAW, kemudian ia bertanya: Saya ini sangat suka kepada keindahan dan saya sendiri telah diberi keindahan itu sebagaimana yang tuan lihat sehingga aku tidak suka kalau ada seseorang yang mahu mengatasi aku dengan menyamakan kasutnya. Adakah ini termasuk kesombongan wahai Rasulullah? Jawab Nabi SAW: Tidak! Sebab yang disebut kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan menghina orang lain. 

Namun Islam tidak suka berlebih-lebihan dalam segala hal. Nabi SAW sendiri tidak suka seorang Muslim yang rumahnya itu penuh dengan lambang kemewahan dan kemegahan kerana berlebih-lebihan itu dicela oleh al-Quran. 

Selasa, 05 Februari 2013

Bagaimana Mahu Menjadikan Urusan Kahwin Itu Mudah?



Bagaimana Mahu Menjadikan Urusan Kahwin Itu Mudah?. Apabila menyentuh soal perkahwinan, ramai golongan yang dikira layak untuk berkahwin seperti merasakan ia agak sukar untuk dilaksanakan. Mungkin terpaksa berhadapan dengan masalah wang hantaran yang semakin meningkat tinggi. Ataupun masih lagi menganggap belum lagi bersedia melangkah ke alam rumah tangga. Banyak kisah yang diriwayatkan oleh para sahabat tentang perkahwinan ini.

Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.

Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”

Mas kahwin

Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin.”

Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.”

Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).

Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”

Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.

Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW bertanya: “Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran?”

Sahabat itu menjawab: “Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Nabi SAW bersabda: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran yang engkau hafaz.”

Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia di samping mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat mengatur kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Perbanyakkan puasa sunat jika tak mampu berkahwin

Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal nafsu.

Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.

Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafie, golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun, kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.

Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini diberi perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.

Minggu, 03 Februari 2013

Kisah Cinta Dua Pejuang Syria



Dua orang pejuang jihad Syria ini iaitu Mahmoud Al-Halabi dan isterinya Nour Al-Hasan merupakan antara pasangan yang sama-sama berjuang di medan jihad menentang rejim Basyar.

Sebelum berkahwin, Mahmoud Al-Halabi pernah menjadi pemandu kepada salah seorang isteri menteri Syria. Manakala Nour Al-Hasan pula sebelum ini bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah saloon wanita di wilayah Halab.

Mahmoud kini merupakan mujahidin barisan hadapan di Hayyu Sheikh Saed. Beliau sebelum ini pernah dipaksa keluar daripada Syria dan bersama-sama mujahidin di Libya. Disana beliau banyak mempelajari skill peperangan dengan mujahidin Libya.

Beliau kemudiaanya pulang ke Syria untuk bersama-sama kebangkitan rakyat Syria menjatuhkan Basyar Asad. Manakala Nour Al-Hasan pula sebelum ini merupakan anak kepada salah seorang pimpinan Parti Baath.

Nour pernah membuat satu akaun Facebook yang tidak dikenali dan menjadi aktivis sosial media. Beliau juga menggerakkan protes dan menyebarkan berita berkenaan kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan rejim.

Selepas ayah dan abang Nour mengetahui berkenaan berita tersebut, Nour dibelasah sehingga cedera teruk dan terpaksa dibawa ke hospital. Berita tentang beliau menjadi perbualan ke seluruh kota, dan Mahmoud mengetahui tentang berita tersebut.

Nour dan Mahmoud menyertai gerak kerja protes menjatuhkan rejim dan kemudiaanya menyertai pasukan mujahidin mengangkat senjata menghadapi tentera rejim.

Mereka menyertai Briged Jabhah An-Nusrah dan merupakan mujahidin barisan hadapan dalam menghadapi rejim. Nour menjadi sniper yang handal setelah diajar oleh Mahmoud berkenaan penggunaan senjata dan sebagainya.

Mahmoud dan Nour berkahwin pada Julai 2012 dan menjadi pasangan suami isteri yang tangkas di barisan hadapan mujahidin menentang tentera rejim.

Cinta mereka bukan hanya sekadar melafazkan kata-kata cinta di bibir, tetapi dibuktikan dengan kesediaan untuk sanggup bersama di medan juang. Semoga Allah memelihara mereka berdua..

Jakim Lancar Program Jerat Valentine



KUALA LUMPUR- Lebih 300 sukarelawan muda pada Sabtu menyertai program turun padang bagi menyedarkan umat Islam terhadap pentingya mereka tidak meraikan Hari Valentine pada setiap 14 Februari.

Program “Jerat Hari Valentine” itu mensasarkan beberapa lokasi sekitar KualaLumpur, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Masjid As-Syakirin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Antara lokasi ialah sekitar KLCC, Bukit Bintang, Masjid India, KL Sentral, Puduraya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Othman berkata, tenaga dan kemahiran sukarelawan muda berusia antara 19 hingga 25 tahun itu dapat memberi pengaruh yang baik dalam memberi nasihat dan penjelasan berhubung Hari Valentine kepada masyarakat Islam terutamanya dari golongan muda.

“Ini adalah kali pertama Jakim melibatkan golongan muda dalam menangani isu Hari Valentine.

“Golongan sasaran ialah remaja dan ibu bapa Islam, serta masyarakat sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mokhtar berharap umat Islam, khususnya ibu bapa mengambil berat mengenai larangan merayakan hari Valentine yang mempunyai unsur-unsur Kristian dan bercampur dengan perbuatan maksiat.

Larangan itu dikeluarkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-71 pada 2005.

Salah seorang peserta, pelajar universiti tempatan Siti Balqis Samsudin, 23, berkata program ini dapat membina keyakinan dan keberanian untuk membendung masalah gejala sosial di kalangan anak muda Islam.

Siti Wan Norain Mohammad Azman, 19, berkata, walaupun rasa takut sekiranyadipandang serong kerana menasihati orang lain tetapi beliau tetap positif untuk hadir bagi memberi sokongan dan bantuan. – BERNAMA

 
Template designed by Dede Fahadi AND Powered By: Suksesku.com